4.05.2012

[joy.writting] NYAWA BAGAI TEKA-TEKI C1P3

BAB 1 BAHAGIAN 3

"..cermin yang digilap takkan secerah cermin baru"


“Engkau yang lakukan sesuatu yang bodoh,” bisik si penjahat. Seperti dia sedang cuba untuk mengawal jentera kejahatan dalam dirinya. Tetapi hasutan syaitan dan dendam kesumat yang marak menyala, membakar segala perikemanusiaan yang ada dalam dirinya. Tidak ada apa yang boleh menghalang apa yang akan terjadi dalam beberapa minit yang akan datang. Hanya Tuhan.
Si penjahat mencapai beg peralatannya. Ditarik rapat beg itu ke kakinya. Zip disentap dan dikuakkan mulut beg tersebut sambil tangannya mula mengembur, mencari sesuatu di dalam beg yang dipenuhi dengan peralatan bertukang. Apa yang hendak ditukangi di situasi begini? Mungkin paku untuk dipasak ke dalam tubuh untuk menyeksa? Tukul untuk memecahkan apa yang patut dipecahkan untuk menamatkan riwayat seseorang? Gergaji untuk mengerat mangsa yang sudah tidak bernyawa – memudahkan pelupusan?  Tetapi bukan peralatan-peralatan ini yang dicari. Si penjahat sekali lagi menyeringai apabila menemui apa yang dicarinya dalam beg peralatan itu.
“Sebelum kau mati, aku ada hadiah untuk kau,” kata si penjahat sambil meletakkan sesuatu yang digenggamnya di atas lantai, di hadapan muka si mangsa. “Tidak adil kalau aku jumpa apa yang aku cari, dan engkau tidak.” Sambung si penjahat yang kini sudah berpaling dari si mangsa, menyelak penutup kepalanya dan menarik nafas yang panjang.
Muka si mangsa berubah apabila melihat apa yang dipersembahkan kepadanya, di atas lantai, di hadapan mukanya. Hadiah? Betul, tapi bukan dalam keadaan begini yang aku mahu menerimanya. Dahinya berkerut apabila melihat objek tersebut. Segala persoalannya telah terjawab. Kini sudah jelas, apa yang dicarinya selama ini sudah terhidang di hadapan mata. Tetapi, dengan keadaan yang terbelenggu dan mungkin akan disentap nyawanya dalam beberapa minit lagi, dia tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya berserah. Objek yang berbentuk kiub, terdiri dari gabungan sekumpulan kiub-kiub kecil yang membentuk  enam muka, dilitupi oleh sembilan pelekat, setiap satu daripada enam warna yang berbeza. Ia adalah salah satu permainan teka-teki mekanikal 3 dimensi yang terkenal di seluruh dunia. Diberi nama sempena perekanya, Erno Rubik.
“Hari ini aku berjaya menemukan keenam-enam muka dengan warna yang sama.” Riak si penjahat, sambil bangun dari kerusi dan ditolaknya kerusi ke tepi. Kakinya menguis sampah sarap yang berada di sekeliling si mangsa.
 “Tugas aku hampir selesai,” si penjahat berkata sambil menyarung tangannya dengan sarung tangan kulit yang berwarna gelap. Dia menghampiri si mangsa, “Jadi, aku mahu selesaikan secepat mungkin. Aku penat. Dah tiba masa untuk aku pergi bercuti.” Ujar si penjahat dalam nada berseloroh.
Si penjahat dengan perlahan mencapai sesuatu yang diselitkannya di belakang badan. Mata si mangsa kini terbuka besar dan mula berlinang air mata apabila melihat apa yang dipegang si penjahat. Si penjahat senyum sambil mencekah Colt M1911. Muncung pistol yang diperbuat dari keluli kini dirodok ke dalam mulut si mangsa. Sudut pistol kini diacukan ke lelangit si mangsa. Jari si penjahat erat di pemetik picu. Peluh dingin membasahi kepala si penjahat. Tangan kirinya mengaru-garu kepala dan kembali merapi rambutnya.
-TAMAT BAHAGIAN 3-

0 comments: