BAB 1 : BAHAGIAN 4
"runtuhan terulung dibikin hiasan.."
Si mangsa memandang tepat pada anak mata si penjahat, mencari secebis rasa belas kasihan. Maafkan aku, walau apa pun salah ku. Bunyi nafas yang kini cemas, semakin kuat apabila si mangsa cuba bernafas dengan muncung pistol penuh dalam ruang mulutnya. Rasa besi dan karat dan belerang peledak. Tiba-tiba pistol ditarik keluar dari mulutnya. Helaan nafas lega dari si mangsa, tanda bersyukur nyawanya dipanjangkan sedetik lagi.
“Ada kata-kata terakhir?” tanya si penjahat.
“Aku..”
Belum sempat si mangsa menghabiskan ayatnya, muncung pistol ditekan kuat ke dahinya. Picu disentap dengan kuat. PAM! Bunyi tembakkan memecah kesunyian malam di sekitar bangsal usang yang entah di mana lokasinya. Mungkin terletak jauh dari populasi kerana si penjahat tidak mengenakan penyenyap. Peluru yang meluru keluar kurang dari sesaat bunyi tembakkan didengari, menusuk masuk ke dalam kulit dahi, melepasi lapisan tengkorak, menebuk otak si mangsa sebelum keluar di belakang kepala. Semua dalam sekelip mata. Mata si mangsa terbeliak. Nafas yang terakhir dihembus apabila peluru meninggalkan ruang otak. Badan si mangsa yang keras menahan kesakitan sebentar tadi, terus lemah longlai tidak bernyawa. Tangan si mangsa terus jatuh menyeret lantai.
Darah dengan perlahan, malu-malu untuk menerpa keluar dari lubang di dahi mangsa. Mengalirlah darah menyusuri dahi si mangsa, ke dalam rambut dan menitik ke lantai. Si penjahat menghembuskan nafas lega. Matanya tertumpu pada sesuatu yang tergantung di leher mangsa. Seutas rantai perak, digelangi dengan sebentuk cincin yang berbatu permata. Si penjahat mengampu cincin tersebut dengan tapak tangannya sambil darah yang kini turun ke bawah, mengalir pada rantai tersebut.
“Jangan lupa,” Si penjahat mengeluh, sambil mengesat matanya yang kini sudah pun berair, sedih,“sampaikan salam aku padanya bila kau jumpa dia di sana.”
Rantai tersebut disentap, dan dimasukkan ke dalam kocek jaketnya. Dia kemudian bangun sambil mencapai pemegang beg peralatannya. Digalas beg tersebut selepas dilurut zipnya kembali. Dia berjalan dengan langkah yang perlahan menuju ke pintu besi yang kini menjadi saksi apa yang berlaku dalam bangsal usang ini. Tombol pintu dipulas, dan si penjahat berpaling untuk kali terakhir pada mayat si mangsa.
Mata si mati terus terbeliak, sambil darah yang kini telah selaras tekanannya dari dalam badan dan persekitaran bilik, mengalir dengan deras, meninggalkan si mati, memenuhi lantai. Merah pekat. Si penjahat kemudian menarik penutup kepala pada jaketnya melitupi rambut yang dibasahi peluh. Pintu besi dihempas dari luar sebelum kedengaran bunyi rantai-rantai besi dibelit pada pintu. Bunyi tapak kaki yang sedang berjalan ke arah belakang bangsal terhenti secara tiba-tiba. Suis dipetik dari luar rumah, dan kini lampu kalimantang yang menerangi ruang dalam bangsal yang tidak bertingkap ini terpadam. Gelap. Bunyi enjin kereta dihidupkan dan tayar-tayar yang mencengkam batu-batu jalan apabila kereta yang dipandu si penjahat meninggalkan bangsal tersebut, memecah kesunyian.
-TAMAT BAB 1-
0 comments:
Post a Comment